Monday, June 11, 2012

myMetro | Waspada beli jongkong emas

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro - Bisnes
=======================

EMAS adalah komoditi yang sangat bernilai dengan harganya di pasaran semakin menaik sehingga mencecah 35 peratus, malah perkembangan emas dan perak juga sangat menarik sejak akhir-akhir ini.

Senario ini menyaksikan lebih ramai suka menyimpan jongkong berbanding barang kemas kerana nilai premiumnya rendah dan murah serta penjualan semula tinggi.

Perkembangan positif ini mengundang pelbagai syarikat menawarkan kaedah bagi mengaut keuntungan tinggi.

Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Nubex Sdn Bhd, Nur Hilmy Ahmad untuk tip melabur dan membeli emas secara bijak.

Sejak bila syarikat Nubex ditubuhkan dan apakah objektif penubuhannya?
Nubex syarikat milik penuh Bumiputera dan ditubuhkan secara rasmi pada Februari 2009. Selepas pengalaman terkumpul 16 tahun dalam komoditi ini, kami berpendapat tiba masa untuk Nubex mengetengahkan amalan pembelian jongkong emas atau perak dilakukan masyarakat antarabangsa iaitu transaksi pembelian serta penjualan berpandukan harga semasa emas dan perak dunia yang sentiasa dinamik dan bergerak 24 jam sehari, 5 hari seminggu.

Nubex berhasrat menjadi penyumbang terbesar pemilikan aset sebenar rakyat Malaysia yang kini terjual RM50 juta membabitkan nilai emas dan perak sejak ditubuhkan.

Apakah perkhidmatan dan produk disediakan Nubex?
Nubex menyediakan perkhidmatan kepakaran mengenal pasti ketulenan emas dan perak, membeli emas dan perak pada harga tinggi berbanding pesaing dalam pasaran, menyediakan khidmat ansuran mudah sehingga 36 bulan dengan bank tempatan, malah pelanggan diberi kemudahan membeli pada waktu malam dengan 24 jam untuk membuat pembayaran.

Kami juga sentiasa mengemas kini pergerakan harga mengikut pasaran antarabangsa dan menjadi pengedar rasmi PAMP Suisse, Emirates Gold serta Perth Mint, Australia selain menyediakan khidmat penghantaran ke seluruh dunia dengan perlindungan insurans.

Nubex juga pelopor di pasaran tempatan yang mengemas kini harga pasaran sebenar emas dan perak setiap minit berdasarkan harga pasaran emas dan perak antarabangsa. Ia dipaparkan secara percuma di laman web www.nubex.com.my. Ini membolehkan pelanggan Nubex menetapkan posisi pembelian dalam waktu berbeza mengikut pilihan sendiri dan semua ini dilakukan secara dalam talian.

Bagaimana untuk mengelak menjadi mangsa pelaburan atau pembelian emas?
Kebanyakan syarikat menjanjikan aliran tunai tetap bulanan berupa diskaun lanjutan, hibah dan dividen termasuk menjanjikan keuntungan mudah dengan hanya menjadi broker untuk menjual emas di bawah harga semasa dalam kuantiti yang tidak masuk akal. Malah, mereka bergerak dalam keadaan sangat sistematik dan teratur dengan menjalankan aktiviti perniagaan dalam lingkungan undang-undang serta berselindung di sebalik sijil syariah untuk mengaburi mata pembeli atau pelabur Islam.

Dalam pada pembeli dan pelabur ghairah membeli emas dan perak ini sebagai alternatif pelaburan, mereka perlu berwaspada dan mengetahui beberapa perkara asas sebelum melakukan sebarang transaksi bersama penjual.

Pertama, emas dan perak fizikal. Penjual mesti mengemukakan fizikal kerana emas serta perak adalah komoditi dan sekiranya penjual gagal menunjukkan fizikal atau memberikan fizikal selepas transaksi dibuat, besar kemungkinan terbabit dalam skim di atas. Selepas memperoleh emas atau perak fizikal berkenaan, pastikan ia emas tulen atau mengikut spesifikasi dijanjikan.

Kedua, premium atas spot. Sekiranya syarikat A menjual RM22,000 untuk 100 gram emas berketulenan 999.9 (RM 220/gram) di atas harga spot RM180 segram, maka premium dikenakan ke atas pembeli ialah RM40/gram atau RM4,000 untuk 100 gram.

Jika syarikat B menjual pada harga RM18,300 untuk emas dengan ketulenan dan berat yang sama, tentu pelanggan yang bijak memilih syarikat B.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa premium atas spot bukan bermaksud keuntungan dinikmati penjual. Harga spot tidak mengambil kira kos overhead penjual seperti gaji, insurans, pengangkutan, kos penyimpanan dan lain-lain.

Ketiga, jurang perbezaan harga beli dan jual (spread). Mengambil contoh terdahulu, jika syarikat A membeli semula pada kadar RM17,500 untuk emas yang dijual pada harga RM22,000, jurangnya ialah RM4,500 atau 20.5 peratus.

Jika syarikat B membeli semula pada harga RM17,900, jurang perbezaan ialah RM400 ataupun 2.2 peratus saja. Dalam keadaan ini, syarikat B menawarkan jurang yang kecil dan sesuai sebagai pelaburan.

Ini kerana jika harga emas mengalami kenaikan tahunan 25 peratus, pembeli syarikat B akan mendapat keuntungan bersih 22.8 peratus.

Keempat, berat dan saiz. Emas dan perak di pasaran dunia secara umumnya mengenakan premium serta jurang perbezaan harga lebih tinggi untuk emas dan perak bersaiz kecil disebabkan kos cetakan selain pembuatan lebih tinggi berbanding saiz dan berat lebih besar, contohnya harga untuk 1 gram jongkong emas kini sekitar RM230.

Bagaimanapun, jika pembelian 100 gram jongkong emas, harganya sekitar RM18,300 iaitu (RM183/gram).

Kelima, sumber dan reputasi penjual. Emas dan perak dikeluarkan loji penulenan terkemuka dunia dan menjadi rebutan pelabur kerana diterima di seluruh pelusuk dunia dengan harga tinggi, mutu baik dan jaminan ketulenan tepat. Antara ciri baik ialah mendapat status Good Delivery, ahli London Bullion Market Association (LBMA).

Di Malaysia, belum ada kilang atau loji penulenan emas diiktiraf LBMA. Jika anda memiliki syiling emas Krugerrand dihasilkan South African Mint dan syiling emas dihasilkan pengeluar emas tempatan, tentu nilai dan kecairan syiling emas Krugerrand lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Bagaimana untuk pembeli mengetahui sama ada ia tulen atau tidak?
Jangan letakkan beban menguji ketulenan itu di bahu anda, sebaliknya penjual bertanggungjawab melakukannya.

Pelbagai jenis ujian tidak destruktif boleh dilakukan di kedai emas dengan upah serendah RM10 atau kurang.

Antara ujian ialah ujian ketumpatan, asid, imbasan-x atau konduktiviti. Selain itu, terdapat jenis jongkong yang mempunyai sijil pengesahan daripada ‘assayer’ mengenai ketulenan emas atau perak. Namun cara terbaik adalah dengan menjalankan ujian untuk menentukan ketulenan.

No comments:

Post a Comment